Selangor mempamerkan aksi cemerlang ketika membenam juara bertahan, Pahang 5-2 dalam aksi final saingan hoki wanita Piala Tun Abdul Razak 2017 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Laluan kedua-dua pasukan mara ke final menawarkan kisah yang berbeza, Pahang selaku juara bertahan menepati ramalan menempah ke perlawanan akhir manakala Selangor melakar kejutan dalam aksi separuh akhir.

Perancangan Pahang serba tidak menjadi apabila gawang mereka dibolosi seawal minit kelapan, Selangor berjaya mendahului perlawanan hasil jaringan Nurain Hidayah Hasri.

Dua minit kemudian, Selangor terus menjurangkan kedudukan selepas Fatin Shafikah Mohd Sukri menyumbat masuk gol kedua.

Pahang akhir berjaya menemui rentak permainan dan berjaya mengurang defisit jaringan pada minit ke-16, hasil percubaan Rabiatul Adawiyah Mohamed.

Selangor menambah kekecewaan Pahang selepas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-34, sekali lagi disempurnakan oleh Fatin Shafikah.

Ketinggalan 3-1, Pahang enggan mengibar bendera putih apabila kembali merapatkan kedudukan empat minit kemudian hasil jaringan Annur Amira Suziani Suhaimi.

Selangor terus mengekalkan penguasaan permainan dengan menambah bilangan jaringan pada minit ke-44 yang disumbangkan oleh Nor Atira Mohamed Ismail.

Fatin Shafikah melengkapkan hatriknya menerusi pukulan strok penalti sebelum tamat perlawanan bagi melengkapkan kemenangan Selangor.