Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) merombak format penyertaan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan sebagai langkah untuk merancakkan saingan yang sudah melangkau edisi ke-23 tahun ini.

Edisi tahun lalu menyaksikan hanya 10 pasukan mengambil bahagian.

Kelainan yang ditampilkan pada 2017 adalah untuk membuka penyertaan kepada kelab-kelab bukan di bawah naungan persatuan dan ia mendapat sokongan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan keseluruhan 19 pasukan.

Lapan pasukan negeri dan sembilan pasukan kelab akan merebut Piala MABA yang akan berlangsung 20 November depan.

“Saya percaya jika kami memiliki asas yang baik dan memberikan peluang kepada mana-mana pasukan bertanding, secara tidak langsung ia meningkatkan kualiti sukan ini,” kata Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng.

"Kami sudah mula mengadakan saingan liga serta kejohanan jemputan antarabangsa."

Pahang yang merupakan juara bertahan edisi lalu berdepan laluan sukar dalam usaha mempertahankan kejuaraan apabila bakal menerima saingan hebat dalam Kumpulan A selepas diundi bersama Sarawak, Putrajaya, Shah Alam Titans dan Perak.

“Kami mungkin menerima saingan hebat daripada pasukan-pasukan yang bakal bertemu kami dengan status juara bertahan. Kami akan cuba menampilkan persembahan yang terbaik,” kata pemain bola keranjang Pahang, Raja Ahmad Riza.

“Kami menerima baik saingan peringkat kumpulan untuk kejohanan kali ini. Ia sukar tetapi sesuatu yang bakal mencabar pemain-pemain kami,” kata jurulatih Selangor, Pravin Murugiah.