PIALA KPN 2018: Sabah hantar 13 atlet

Oleh Willie Jude 22 Oktober 2018 324
PIALA KPN 2018: Sabah hantar 13 atlet
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menghantar seramai 13 atlet, termasuk tiga wanita, bagi menyertai temasya sukan Piala Ketua Polis Negara (KPN) di Melaka, bermula Khamis hingga Ahad ini.

Antara yang menjadi sandaran kontinjen itu ialah pelari pecut, Abdul Al Rashid Othman, yang diyakini mampu mengekalkan pingat emas bagi acara 100m dan 200m yang dimenanginya di Pulau Pinang, tahun lalu.

Ketua jurulatih olahraga PDRM Sabah, Sarjan Baharruddin Ismail, yakin Al Rashid mampu mengulangi pencapaiannya tahun lalu berdasarkan prestasi semasanya.

"Saya juga yakin atlet sandaran PDRM Sabah ini mampu mengulangi kejayaan dan kecemerlangannya berdasarkan komitmen dalam latihan selain memiliki disiplin dan semangat juang yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Baharruddin berkata dua atlet lain yang menjadi sandaran kontinjen Sabah ialah Cosmas Charles dan Jerryco Larius, masing-masing bagi acara lompat kijang danlompat jauh.

"Mereka bertiga termasuk Al Rashid kini giat menjalani latihan di Kuala Lumpur dan telah mewakili PDRM Malaysia dalam beberapa siri kejohanan, kami harap mereka akan menyinar di Melaka nanti," katanya.

Terdahulu, pengurus pasukan PDRM Sabah, Asisten Komisioner Ismail Abdullah, ketika dihubungi berkata kesemua atlet yang terpilih telah menjalani latihan pusat di Kota Kinabalu sejak 10 Oktober lalu dan mereka dijangka akan berlepas ke Melaka esok.

"Saya harap penyertaan kali ini bakal menyaksikan kejutan daripada atlet-atlet baru yang mampu membawa pulang pingat, sekali gus mengharumkan nama PDRM Sabah," katanya.

 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen