Perak Bison meraih kemenangan berharga untuk menempah slot ke separuh akhir Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) selepas menewaskan Melaka Titans dengan kemenangan tiga set dalam aksi Kumpulan A, hari ini.

Misi kemenangan menjadi sasaran utama buat kedua-dua pasukan dalam menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.

Namun, Titans yang dibarisi Sahidan Ali, Zarlizan Zakaria dan Khairul Zaman ampuh dalam set pertama permainan untuk mendahului perlawanan menerusi kemenangan 21-17.

Tidak mahu peluang kemaraan dinafikan Titans, Bison bangkit mengikat perlawanan menerusi kemenangan set kedua 21-15.

Dalam set penentuan, kedua-dua pasukan saling meraih mata hingga kedudukan terikat 24-24, namun aksi tenang yang ditampilkan Bison menyaksikan mereka berjaya mencuri mata kemenangan untuk menewaskan Titans dengan keputusan 25-24.

Kemenangan ini menyaksikan Bison mengesahkan tempat ke separuh akhir kejohanan bagi mengiringi Penang Black Panthers.