Piala Emas Raja-Raja: Kelantan mahu hadiah piala kepada Sultan Muhammad V

Oleh Farizal Yusoff 11 November 2017 205
Piala Emas Raja-Raja: Kelantan mahu hadiah piala kepada Sultan Muhammad V
Final Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-77 menjadi hangat apabila kedua-dua pasukan -- tuan rumah, Kelantan, dan lawan mereka, Pulau Pinang -- memasang impian untuk menjulang kejuaraan dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pengurus Kelantan, Nudin Awang, berkata semua pemainnya berada dalam prestasi terbaik untuk memburu kejuaraan kali ke-13 dan berharap dapat menghadiahkan Piala Emas Raja-Raja kepada Sultan Kelantan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-48.

“Moral pemain kami cukup tinggi untuk beraksi dalam final di gelanggang sendiri. Tambahan pula, kami pernah menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam peringkat kumpulan.

“Sudah pasti, kami ingin menghadiahkan piala ini kepada Tuanku Sultan sempena sambutan hari keputeraan baginda yang ke-48. Doakan kami berjaya,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan akhir di Kota Bharu, petang semalam.

Ditanya mengenai persiapan terakhir pasukan Kelantan di sebalik ketiadaan tiga tonggak utama, Nudin menjelaskan ketua jurulatih (Kamaruddin Mohamad) mempunyai startegi tertentu untuk menewaskan skuad Pulau Mutiara.

“Biarpun kami kehilangan tiga tonggak utama, Kelantan masih mempunyai pemain yang berkualiti untuk mengisi tempat pemain utama. Paling penting, permainan  ini perlu dihabiskan dalam masa 90 minit. Menang 1-0 pun sudah memadai.

“Kami juga akan menurunkan penjaring terbanyak kejohanan, Muhamad Masri Asyraf Samsudin, untuk merobek gawang Pulau Pinang,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan pernah merangkul kejuaraan Piala Emas Raja-Raja sebanyak 12 kali manakala Pulau Pinang berbangga dengan lapan kali.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen