Piala Dunia UCI: Azizulhasni raih perak acara keirin

Oleh Bernama 16 Disember 2018 2669
Piala Dunia UCI: Azizulhasni raih perak acara keirin
Pelumba berbasikal trek elit negara, Azizulhasni Awang, meraih pingat perak acara keirin lelaki dalam siri keempat Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di Lee Valley Velopark, Stratford, London, awal pagi tadi.

Pingat emas dan gangsa acara itu masing-masing dimenangi pelumba Belanda, Matthijs Buchli dan Theo Bos.

"Mengambil semangat pasukan Harimau Malaya yang beraksi dalam Piala Suzuki AFF, saya berjaya mendapatkan pingat perak dalam acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di mana kejohanan itu turut disertai sebanyak 47 negara. 

"Saya gembira kerana pencapaian itu adalah satu peningkatan selepas saya mendapat pingat gangsa dalam siri Piala Dunia yang lalu di Berlin, Jerman. 

"Sesungguhnya, ia adalah indikasi yang saya berada di landasan yang tepat dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata pelumba berusia 30 tahun itu dalam laman Facebook miliknya.

Terdahulu, dalam pusingan saringan pertama, pelumba kelahiran Kuala Dungun, Terengganu, itu sekadar menduduki tempat ketujuh yang memaksanya menempuhi pusingan "repechage" untuk meraih slot ke pusingan separuh akhir.

Dia kemudian berjaya ke final selepas memenangi saringan kedua peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen