Pelumba basikal trek pelapis negara, Faris Haiqal Mohd Kadir, mempunyai misi peribadi selepas dipilih menggantikan Azizulhasni Awang dalam acara pecut berpasukan dalam Siri Piala Dunia di New Zealand dan Hong Kong, bulan depan.

Barisan jurulatih negara mencadangkan Faris sebagai pelumba paling sesuai menggantikan Azizulhasni yang mengambil keputusan untuk berehat daripada kejohanan itu.

Walaupun baru berusia 17 tahun, namun dia menunjukkan potensi besar untuk mencabar pelumba elit dunia selepas melalui beberapa ujian di Velodrom Nilai.

Faris menetapkan sasaran untuk membantu Malaysia memintas Jepun dalam ranking dunia.

"Saya berbangga kerana berpeluang untuk mewakili negara dalam kejohanan besar seperti itu.

"Saya berjanji akan memberikan aksi terbaik dalam kejohanan di peringkat antarabangsa," katanya.

Faris akan bergandingan dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis dalam acara pecut berpasukan Piala Dunia.

Ketika ini, Malaysia menghuni ranking ke-16 dunia dengan 1,920 mata -- ketinggalan dua anak tangga di belakang Jepun.

Kuota pecut berpasukan lelaki Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, akan diberikan kepada 18 negara terbaik.

"Ia tanggungjawab yang besar, namun saya akan berjuang sebagai pelumba pertama Malaysia.

"Sasaran saya adalah untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 dan sekiranya berjaya, saya akan memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin," tambahnya.