Michael Cheika memuji persembahan skuad Australia "sebagai tanda penghargaan kepada negara mereka" selepas The Wallabies tersingkir daripada Piala Dunia Ragbi dalam suku akhir kepada England hari ini.

Walaupun bermula cemerlang di Oita, juara dunia 1991 dan 1999 itu tewas 40-16 ketika England mempamerkan corak permainan bertahan yang ampuh.

Ketua jurulatih Australia, Cheika, dijangka meninggalkan skuad Australia selepas gagal mengulangi pencapaian mereka empat tahun lalu.

Pengendali berusia 52 tahun itu gagal menyelindungkan kekecewaannya dalam temu bual selepas perlawanan tetapi memuji kesungguhan dan komitmen dalam perlawanan tersebut.

"Saya berasakan pemain-pemain telah memberikan yang terbaik hari ini," kata Cheika. "Saya mahu setiap warga Australia mengetahuinya. Mereka telah bermain dengan sepenuh hati dan berusaha untuk melakar kemenangan.

"Kami telah melakukan beberapa kesilapan tetapi cuba sebaik mungkin demi Australia."

Australia mendominasi permainan tetapi sekadar melakukan satu try menerusi Marika Koroibete manakala England meraih empat try menerusi Jonny May (2), Kyle Sinckler dan Anthony Watson.

"Saya berasakan kami telah bermain dengan baik, terutama pada 50-60 minit pertama," kata Cheika lagi.

"Kami berjaya memintas bola England dua kali tetapi mereka bertahan dengan baik, jadi pasukan yang lebih cemerlang memenangi perlawanan ini."

Kapten The Wallabies, Michael Hooper, menambah: "Kami sangat kecewa. Setiap pemain mengerah segala keringat, namun masih gagal meraih kemenangan."