Jepun mampu mencipta satu lagi kejutan besar dalam Piala Dunia Ragbi, kata bekas pemain sayap England, Jason Robinson.

Pasukan tuan rumah itu mengetuai Kumpulan A dan akan bertemu Scotland di Yokohama hujung minggu ini, yang akan menentukan dua pasukan teratas kumpulan itu di samping Ireland.

Jepun menewaskan Russia dalam perlawanan pembukaan sebelum bangkit daripada ketinggalan 3-12 untuk menewaskan Ireland.

Mereka kemudian menghasilkan dua try pada lewat permainan untuk meraih mata bonus ketika menewaskan Samoa hujung minggu lalu, yang mencerahkan peluang mereka untuk menamatkan saingan selaku dua pasukan teratas.

Ancaman taufan, yang berpotensi untuk mengganggu jadual perlawanan, dijangka akan melanda Jepun menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu.

Dan seandainya perlawanan berjalan seperti biasa, Robinson, yang menjuarai Piala Dunia pada 2003, tetap berasakan Jepun mempunyai peluang besar untuk layak ke suku akhir buat kali pertama sepanjang sejarah penyertaan mereka.

"Japan adalah pasukan yang mencuri tumpuan," katanya kepada Omnisport.

"Menjelang Piala Dunia, kita bercakap mengenai potensi enam pasukan untuk bergelar juara -- tiga dari hemisfera utara dan tiga dari hemisfera selatan.

"Kita diingatkan kembali bahawa Jepun boleh melakukan sesuatu.

"Mereka hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk ke suku akhir dan ia amat hebat.

"Jika ramalan cuaca itu benar dan mencetuskan gangguan, jika perlawanan Ireland ditunda dan mereka mendapat dua mata, dan Scotland menewaskan Jepun dalam perlawanan terakhir, Ireland boleh tersingkir.

"Daripada kesemua pasukan yang saya fikir akan layak, ia mungkin Ireland dan kita bercakap mengenai potensi mereka (untuk tersingkir) kerana taufan itu akan menjejaskan perlawanan mereka.

"Kedua-dua Ireland dan Scotland, mereka mungkin tidak panik tetapi mereka perlu memikirkannya dengan serius.

"Jepun merupakan pasukan yang menyerlah, cara mereka menewaskan Ireland amat luar biasa.

"Ia bukan disebabkan nasib atau kebetulan, ia disebabkan mereka sentiasa memaparkan aksi sepasukan yang tersusun, serangan disusuli dengan serangan, bermain dengan rentak dan tempo, memberikan segala-galanya dan anda dapat lihat betapa bermaknanya ia buat mereka.

"Jepun kini berada di tempat yang baik dan ia sesuatu yang besar buat keseluruhan Piala Dunia," katanya.