IRELAND UTARA 47 SAMOA 5

Johnny Sexton mencatat 18 mata yang menyaksikan Ireland melangkah ke suku akhir Piala Dunia Ragbi selepas membelasah Samoa 47-5 biarpun Bundee Aki dilayangkan kad merah.


Ireland sedar dengan memungut mata maksimum dalam perlawanan terakhir Kumpulan A itu di Stadium Fukuoka Hakatanomori, malam tadi, akan menyaksikan mereka di puncak kumpulan untuk mengatasi saingan daripada Jepun atau Scotland.

Skuad kendalian Joe Schmidt itu meraih mata bonus sebelum separuh masa menerusi ketua pasukan, Rory Best, dan Tadhg Furlong disusuli Sexton yang melakukan try berganda.

Aki muncul pemain Ireland Utara pertama yang dibuang padang dalam Piala Dunia selepas terbabit dalam terjahan berbahaya terhadap Ulupano Seuteni tetapi ia tidak menggugat kemaraan mereka.

Jordan Larmour, CJ Stander dan Andrew Conway menambah lagi usaha try dalam babak kedua sambil Sexton menyempurnakan empat daripada lima conversion sebelum penggantinya, Joey Carbery, turut menemui sasaran sebanyak dua kali.

Ireland Utara kekal mendahului dua mata ke atas Jepun dan bakal menghadapi New Zealand atau Afrika Selatan dalam suku akhir hujung minggu depan sementara Samoa harus tunduk dengan kekalahan teruk apabila hanya mendapat satu try tunggal menerusi Jack Lam dalam babak pertama.