Steve Hansen mahu memastikan New Zealand tidak terlalu memandang mudah aksi separuh akhir Piala Dunia Ragbi berdepan England dengan mahu memastikan slot ke final mampu diraih.

Juara bertahan dua kali, All Blacks, merupakan pilihan untuk menjulang Piala Webb Ellis itu sekali lagi, namun perlu mengatasi skuad kendalian Eddie Jones itu di Yokohama esok untuk terus menghidupkan peluang mereka.

New Zealand telah mempamerkan persembahan yang ampuh ketika mengatasi Ireland 46-14 dalam suku akhir.

Tetapi Hansen memberikan amaran terhadap ancaman yang mampu dihadirkan England dalam aksi penentuan untuk melangkah ke final.

"Apabila sesebuah pasukan telah memenangi perlawanan suku akhir, mereka akan terus memandang untuk menempah tempat ke final," katanya.

"Saya berasakan ia adalah satu kesilapan yang dilakukan sebelum ini. Saya berasakan kami memenangi Piala Dunia pada 2007 tetapi ia adalah satu kesilapan kerana tidak memberikan fokus untuk perlawanan seterusnya.

"Kami seharusnya melihat ia sebagai peluang untuk ke final dan berusaha mempamerkan corak serta mutu permainan yang berkualiti -- sama seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini."

England telah tewas enam kali kepada New Zealand dan Jones berpandangan ini merupakan peluang terbaik untuk mengubah keputusan tersebut.

"Ia bakal menjadi perlawanan yang menarik, bukan? Dua gergasi, satu berjersi hitam dan satu putih. Anda tidak boleh memikirkan suasana yang lebih menarik daripada perlawanan ini," kata Jones.

"Saya berasakan ini merupakan minggu yang menarik, salah satu minggu yang paling menarik dalam dunia ragbi."

Kieran Read (New Zealand) dan Jonny May (England) bebas daripada kecederaan dan bakal beraksi dalam skuad 15 pemain untuk negara masing-masing.