Piala Dunia Ragbi: Hansen kagum dengan reaksi haka England

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2019 1769
Piala Dunia Ragbi: Hansen kagum dengan reaksi haka England
Ketua jurulatih New Zealand, Steve Hansen, menyifatkan reaksi England terhadap Haka sebagai satu tindakan "bijak dan kreatif".

England berhadapan dengan upacara pra-perlawanan All Blacks di Stadium Antarabangsa Yokohama, Sabtu lalu dengan melakukan formasi berbentuk 'V' sebelum menyingkirkan juara dunia dua kali itu dengan kemenangan 19-7.

Joe Marler adalah antarapemain England yang diberikan amaran supaya berundur dari garisan tengah ketika haka dilakukan.

Ragbi Dunia telah mendenda England sebanyak GBP2,000 (RM10,761) kerana melintasi garisan dan Hansen menjelaskan hukuman itu adalah kerana melanggar peraturan kejohanan berbanding tidak menghormati lawan.

"Mereka tidak didenda kerana membalas haka -- ia disebabkan terdapat pemain yang melepasi garisan tengah," kata Hansen.

"Marler telah diarah dua atau tiga kali supaya berundur. Haka adalah sesuatu yang perlu dibalas. Ia merupakan cabaran untuk anda dan secara peribadi anda harus menyahutnya.

"Saya berasakan apa yang dilakukan England adalah bijak dan agak berimaginasi juga."

Pemain lock England, Courtney Lawes, berkata skuad kendalian Eddie Jones itu berasakan betapa pentingnya mereka untuk bersedia menghadapi pertembungan tersebut.

"Ya, kami mahu menghormatinya tetapi kami tidak akan berdiri sahaja dan menerima apa yang diberikan pasukan lawan," kata Lawes.

"Kami mahu memberitahu England juga bersedia untuk bertempur dan kami berasakan telah memberikan isyarat kepada New Zealand bahawa cabaran mereka telah diterima.

"Pemain-pemain New Zealand kelihatan sudah mengetahuinya sebaik kami bergerak menuju ke arah mereka. Saya berasakan kami telah menyahut cabaran itu dengan baik."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen