NEW ZEALAND 40 WALES 17

Steve Hansen kecewa dengan "satu hari yang buruk" tetapi meluahkan kebanggaannya selepas mengakhiri khidmatnya selaku jurulatih New Zealand dengan kemenangan 40-17 ke atas Wales dalam aksi penentuan pingat gangsa Piala Dunia Ragbi, sebentar tadi.


The All Blacks menjaringkan enam try dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Tokyo itu, seminggu selepas memulihkan kekecewaan tewas keapda England dalam separuh akhir.

Pemain yang membuat penampilan terakhir bersama pasukan, Ben Smith, melakukan dua try dalam separuh masa pertama sebelum satu lagi percubaannya dinafikan sementara Ryan Crotty, yang bakal mengikut jejak langkah Smith, turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring.

Kapten pasukan, Kieran Read, turut antara pemain All Blacks yang membuat penampilan terakhir bersama pasukan yang dikendalikan oleh Hansen, dan ketua jurulatih itu mengagumi perwatakan yang ditampilkan pasukannya sejak peristiwa yang berlaku enam hari lalu.

"Ia sangat penting kami kembali bangkit demi memartabatkan maruah jersi yang disarung serta penyokong bagi mengetepikan kekecewaan minggu lalu," kata Hansen, yang bersama staf kejurulatihan New Zealand sejak 15 tahun lalu.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar buat kedua-dua pasukan dan saya mahu mengucapkan tahniah kepada Wales kerana buat seketika, mereka menghadirkan tentangan.

"Sepanjang kejohanan, kamii bertahan dan bermain dengan baik. Hanya disebabkan satu hari yang buruk menjadi punca kekalahan kami dan menggagalkan peluang pasukan mempertahankan gelaran. Tetapi saya berbangga dengan mereka hari ini."

Pemain terbaik perlawanan, Brodie Retallick, berkata juara bertahan dua kali berturut-turut itu terdesak untuk menamatkan saingan dengan membuktikan kemampuan mereka.

"Sejak minggu lalu, kami mahu menampilkan aksi terbaik dan menamatkan saingan kali ini dengan keputusan yang membanggakan untuk penyokong dan kami bersyukur di atas kemenangan yang diraih," kata pemain lock itu.

"Ia merupakan usaha yang baik dan kami berbangga dengan kemenangan New Zealand."