Bekas kapten England, Lawrence Dallaglio, percaya pasukan negaranya akan melengkapkan kemenangan terhebat dalam saingan Piala Dunia sekiranya menundukkan Afrika Selatan di pentas final, Sabtu ini.

Dallaglio merupakan salah seorang wira England ketika menjuarai edisi 2003 sebelum turut memperkuatkan barisan depan skuad yang mara ke final empat tahun kemudian, di mana mereka tewas di tangan Afrika Selatan di Paris.

Namun, kewibawaan yang dipamerkan skuad kendalian Eddie Jones itu ketika menyingkirkan New Zealand dan Australia di peringkat suku akhir dan separuh akhir membuatkan dia percaya pasukan kali ini akan mencipta sejarah sekiranya mampu mengatasi kesemua gergasi selatan dalam dunia ragbi.

"Jika mereka menjulang Piala Dunia, di mana mereka kini berpeluang, ia mungkin akan menjadi kejayaan terhebat sepanjang zaman," katanya kepada Sky Sports.

"Ketika mereka diundi dalam kumpulan mudah, mereka perlu menundukkan Australia, New Zealand dan Afrika Selatan untuk menjulang trofi.

"Jika anda boleh melakar kejayaan dalam Tri Nations dan menjulang trofi, anda berhak bergelar juara dunia," katanya.

England mempamerkan aksi yang boleh disifatkan sebagai pengukur generasi terbaik ketika separuh akhir, mendominasi sejak awal permainan untuk mencipta kemenangan 19-7 ke atas The All Blacks serta memberi lawan kekalahan pertama dalam tempoh 12 tahun.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, saingan sengit dipamerkan Wales dan Afrika Selatan ketika pertemuan di Yokohama, Ahad lalu.

"Aksi pertama memang hebat, membuatkan kami terpukau dengan apa yang berlaku," tambah Dallaglio.

"Dalam aksi kedua, ia benar-benar seperti satu pesta. Sebanyak 81 tendangan dilakukan. Ia bukan sesuatu yang mudah.

"Afrika Selatan telah muncul dengan prestasi terbaik, sama seperti apa yang kami jangkakan."

Dia menambah: "England bakal berdepan lawan yang sukar. Memang menggembirakan. Kini, semua orang menjangkakan England akan beraksi dalam final dengan persembahan seperti ketika bertemu All Blacks.

"Anda tidak boleh harapkannya kerana dalam ragbi, ia bukan begitu. Saya rasa Afrika Selatan telah membuktikan dalam edisi kali ini bahawa mereka pasukan yang sukar ditumbangkan.

"Mereka hanya melepaskan empat try dan dua daripadanya adalah ketika perlawanan pertama berdepan All Blacks."