Pengarah Ragbi Afrika Selatan, Rassie Erasmus, memuji ketua jurulatih Wales, Warren Gatland, sebagai seorang legenda menjelang pertembungan aksi separuh akhir Piala Dunia Ragbi, Ahad ini.

Gatland merupakan perancang utama di sebalik kejayaan Wales memenangi kempen Enam Negara tahun ini dan di ambang mengemudi negara itu ke final Piala Dunia Ragbi buat kali pertama.

Erasmus memuji pengendali kelahiran New Zealand itu -- yang bakal meninggalkan pasukan sejurus tamatnya kempen di Jepun ini -- dalam persiapan menghadapi Wales di Yokohama hujung minggu ini.

"Warren adalah seorang legenda ragbi. Jarang anda melihatnya bertelegah atau terbabit dalam perang mulut sebelum satu perlawanan Test," katanya.

"Saya tidak pernah perlu membalas apa yang dikatakan olehnya dan dia tidak menyakiti hati anda untuk menimbulkan sesuatu yang mengarut sebelum sesuatu perlawanan, jadi saya amat menghormatinya.

"Keputusan yang diraih di atas padang adalah buktinya ,baik bersama pasukan Wales mahupun pasukan Britain dan Ireland."

Erasmus melakukan satu pertukaran selepas merakamkan kemenangan ke atas Jepun, dengan Sbu Nkosi menggantikan Cheslin Kolbe yang mengalami kecederaan buku lali.

Gatland berharap Jonathan Davies akan kembali beraksi selepas tidak diturunkan berdepan Perancis ekoran kecederaan lutut tetapi Erasmus berkata mereka masih mampu meneruskan saingan tanpa tonggak tengah itu.

"Mereka memiliki kelebihan fizikal berbanding kami," kata Erasmus mengenai juara Enam Negara itu.

"Saya mengetahui Dan Biggar tidak memiliki fizikal yang tinggi berbanding rakan sepasukannya, namun tetap akan menghadirkan masalah kepada kami. Hadleigh Parkes dan Jonathan Davies bakal menjadi halangan yang besar buat barisan pemain Afrika Selatan," tambahnya lagi.