ENGLAND 19 NEW ZEALAND 7

England menunjukkan jalan keluar buat juara bertahan, New Zealand, apabila melakar kemenangan 19-7 dalam separuh akhir Piala Dunia Ragbi di Stadium Antarabangsa Yokohama sebentar tadi.


Kejayaan itu menempatkan England dalam final buat kali pertama sejak 2007.

Sebelum ini, New Zealand tidak pernah tewas dalam Piala Dunia sejak edisi 2011.

Rekod skuad All Blacks itu dilihat berupaya menggerunkan mana-mana lawan, namun ia dibuktikan sebaliknya oleh England.

Runtuhnya impian juara bertahan itu untuk menjulang gelaran hatrik bermula seawal minit kedua.

Bintang England, Manu Tuilagi, merekodkan try selepas memanfaatkan asakan penuh pasukannya sejak wisel permulaan.

Conversion Owen Farrel kemudian menjadikan kedudukan 7-0 sebagai bekalan untuk England memimpin perlawanan.

Dua try penalti sebelum tamat babak pertama dan awal separuh masa kedua melebarkan kelebihan England kepada 13-0.

Tetapi New Zealand menghangatkan pertembungan itu dengan try dan conversion pada minit ke-57.

England, bagaimanapun, menamatkan sisa-sisa perjuangan New Zealand dengan dua lagi try penalti yang mencukupi untuk memastikan kemaraan mereka ke final.

Sementara itu, jurulatih England, Eddie Jones, menghamburkan pujian terhadap pertahanan pasukannya sebagai corak serangan terbaik.

“Kami bermain menentang sebuah pasukan hebat yang dibimbing seorang jurulatih hebat, Steve Hansen. Kieran Reed juga seorang kapten yang hebat buat pasukan lawan. Kami terpaksa mengerah segala kudrat,” katanya.

"Kami tahu kami perlu keluar dari kawasan kami dan dapat melakukannya. Kami juga melakukan beberapa kesilapan tapi turut bernasib baik beberapa kali dan akhirnya mendapat keputusan ini.

"Piala Dunia sentiasa berkisar mengenai pertahanan dan corak serangan terbaik kami ialah pertahanan kami. Kami mencipta peluang menerusi pertahanan kami untuk menyerang.

"Pujian terbesar buat New Zealand, mereka memenangi Piala Dunia dua kali berturut-turut. Mereka sebuah pasukan hebat dan kami benar-benar perlu memberikan segala-galanya untuk menewaskan mereka,” katanya lagi.

Jurulatih New Zealand, Steve Hansen, pula mengakui England berhak menang di sebalik mempertahankan kekalahan itu tidak meragut apa-apa daripada pencapaian gemilang pasukannya.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada England, mereka telah bermain dengan mengagumkan, dan berhak meraih kemenangan hari ini.

"Namun, saya bangga dengan pasukan kami. Mereka telah berjasa kepada negara dan ternyata kami tidak cukup bagus. Kami perlu menerimanya, begitu juga semua orang di negara kami, termasuk penyokong,” tambahnya.