Piala Dunia Ragbi: England belum sampai kemuncak, kata Balshaw

Oleh Penulis Jemputan 2 November 2019 511
Piala Dunia Ragbi: England belum sampai kemuncak, kata Balshaw
Iain Balshaw berkata England masih belum mencapai kemuncaknya ketika pasukan itu sedang mempersiapkan diri menjelang pertarungan dengan Afrika Selatan dalam final Piala Dunia Ragbi di Stadium Antarabangsa Yokohama hari ini.

Skuad kendalian Eddie Jones itu memaparkan aksi luar biasa untuk menyingkirkan juara bertahan, New Zealand, minggu lalu bagi menempah laluan bertemu skuad Springboks itu dalam final tujuh hari kemudian.

The Red Rose menjadi pilihan untuk menjulang Piala Webb Ellis itu buat kali kedua selepas menyingkirkan juara dua edisi berturut-turut, New Zealand.

Balshaw, yang merupakan sebahagian skuad England ketika menjulang Piala Dunia di Australia 16 tahun lalu, percaya masih terdapat sesuatu yang lebih istimewa akan dihadirkan pasukan berkenaan dalam perlawanan terbesar sepanjang hidup mereka itu.

Balshaw berkata kepada Omnisport: "Saya tidak pasti purata umur sebenar dalam skuad England tetapi saya fikir ia sekitar 27 tahun dan kebanyakan pemain sedang berada di kemuncak prestasi.

"Kita dapat lihat kehadiran beberapa pemain muda seperti Sam Underhill dan Tom Curry dan mereka beraksi dengan amat cemerlang. Mereka mempunyai tempoh yang masih panjang, mereka akan menjadi semakin baik.

"Saya fikir ia waktu paling mengujakan buat sukan ragbi di England, bukan sahaja disebabkan pemain yang sedang berada di Tokyo, malah buat pemain yang tidak terpilih untuk menyertai pasukan kerana pasukan ini amat kuat di setiap peringkat.

"Terdapat ramai bakat dalam Liga Perdana dan akademi, sukan ini sedang berada di tahap terbaik di England."

Balshaw berkata England perlu menangani kekuatan fizikal Springboks dan bersedia untuk menggabungkan permainan mereka sekiranya mahu mengulangi pencapaian pada 2003.

"Anda perlu melawan api dengan api. Anda perlu bersedia untuk hentaman pertama dan memastikan setiap perancangan terlaksana.

"England sudah melakukannya dengan baik setakat ini, mereka amat tersusun dan mengembangkan permainan.

"Tetapi jika mereka perlu bermain secara membosankan untuk menang, teruskan sahaja.

"Apabila anda berada dalam final, kemenangan adalah segala-galanya," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen