Maro Itoje menegaskan kem England kekal tenang sebelum merekodkan kemenangan mengejutkan ke atas New Zealand dalam separuh akhir Piala Dunia Ragbi kerana skuad kendalian Eddie Jones itu sentiasa memiliki keyakinan tinggi.

England mendominasi All Blacks ketika meraih kemenangan 19-7 semalam, sekali gus memberikan kekalahan pertama buat juara bertahan dua kali itu sejak 2007.

Itoje dan rakan sepasukan kini menuju ke perlawanan akhir, kali pertama buat England ke peringkat itu sejak 12 tahun lalu.

Kekalahan New Zealand dianggap sebagai satu kejutan, namun Itoje berpandangan England sentiasa menyedari kemampuan mereka untuk ke final.

"Kami sentiasa percaya untuk meletakkan kepercayaan terhadap skuad ini," kata Itoje. "Kami memiliki barisan pemain, jurulatih dan apa yang telah dipamerkan sesuatu yang menakjubkan.

"Jadi, kepercayaan bukanlah satu masalah buat England.

"Sejujurnya, kami kekal tenang sebelum berdepan New Zealand. Kami sentiasa yakin dengan kemampuan masing-masing dan menganggap ia bukan satu kejutan mengatasi mereka."

"Ia merupakan kemenangan yang terbaik. Saya sangat gembira di atas persembahan England.

"Terdapat ruang yang boleh diperbaiki dan menampilkan aksi yang lebih baik tetapi England berjaya memastikan kemenangan berjaya diraih.

"Dengan tempoh seminggu untuk membuat persiapan menjelang aksi final, saya sangat berbangga dan bertuah untuk menjadi sebahagian daripada minggu yang menakjubkan."