Piala Dunia Ragbi: All Blacks perlu bangkit tewaskan Wales, kata Hansen

Oleh Staff Writer 1 November 2019 185
Piala Dunia Ragbi: All Blacks perlu bangkit tewaskan Wales, kata Hansen
Ketua jurulatih New Zealand, Steve Hansen, menggesa pasukannya untuk memaparkan perwatakan sebenar ketika bertemu Wales dalam perlawanan penentuan pingat gangsa Piala Dunia Ragbi di Stadium Chofu, Tokyo hari ini.

Impian skuad All Blacks itu untuk mempertahankan kejuaraan dimusnahkan England dalam separuh akhir dengan skuad kendalian Eddie Jones itu melakar kejutan dengan kemenangan 19-7 di Yokohama.

Ketika England akan berdepan Afrika Selatan dalam final esok, New Zealand terlebih dahulu akan bertemu skuad kendalian Warren Gatland, Wales -- yang juga juara Kejohanan Enam Negara -- untuk menentukan tempat ketiga dalam kejohanan di Jepun itu.

Ia akan menjadi perlawanan terakhir di bawah kendalian Gatland dan Hansen bersama pasukan masing-masing dan jurulatih skuad All Blacks itu berazam untuk membuktikan pasukannya mampu bangkit daripada kegagalan.

"Ia tentang memulakannya semula dan memastikan kami turun dan memaparkan aksi yang bukan sahaja membanggakan kami tetapi buat kesemua warga New Zealand di seluruh dunia dan setiap penyokong All Blacks," katanya dalam sidang media.

"Perkara terpenting yang kami boleh lakukan ialah bermain dengan standard tertinggi, melatih dengan standard setinggi yang boleh atau menjadi pengurus terbaik seperti yang anda mampu.

"Dengan melakukan perkara itu, kami bukan sahaja membuktikan kepada diri sendiri dan rakan sepasukan tetapi buat seluruh negara bahawa kami mempunyai perwatakan yang sepatutnya.

"Perkara terbaik yang kami boleh lakukan ialah membuktikan apabila perwatakan anda diuji, anda masih mampu bangkit untuk menghadapinya.

"Itulah kejayaan terbesar yang kami boleh bawa pulang daripada kejohanan ini, kejayaan terbesar yang kami boleh tunjukkan kepada pemuda di New Zealand yang mengaspirasikan All Blacks atau mengaspirasikan untuk menjadi apa-apa sahaja.

"Anda memerlukan perwatakan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen