Perlawanan tumpuan Piala Dunia Ragbi di antara tuan rumah Jepun dan Scotland, (6.45) petang ini, akan diteruskan seperti yang dijadualkan berikutan Taufan Hagibis sudah reda.

Perlawanan Kumpulan A di Stadium Yokohama itu terancam dengan pembatalan ekoran masalah ribut kencang, termasuk hujan lebat, yang menghampiri pantai timur Jepun.

Tiga perlawanan sebelum ini terpaksa dibatalkan serta perlawanan Kumpulan A di antara Namibia dan Kanada, pagi ini, dibatalkan akibat kesan taufan itu di Kamaishi.

Bagaimanapun, harapan pasukan yang dibimbing Gregor Townsend itu dan skuad Brave Blossoms berkenaan untuk ke suku akhir akan berlanjutan ke aksi di padang di Stadium Antarabangsa Yokohama setelah Jawatankuasa Penganjur Ragbi Jepun 2019 mengumumkannya sebentar tadi.

"Keputusan ini diambil berikutan penilaian menyeluruh mengenai tempat dan infrastruktur yang berkaitan perlawanan dengan kerjasama penganjur pada pagi ini," kata satu kenyataan.

"Ragbi Dunia dan Jawatankuasa Penganjuran Ragbi Jepun 2019 ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas usaha penting mereka ini untuk membolehkan perlawanan diadakan seperti yang dijadualkan susulan (ancaman daripada) salah satu daripada taufan terbesar dan terkuat yang melanda Jepun pada tahun-tahun kebelakangan ini."

Dengan perlawanan itu akan diteruskan, ia akan membawa kepada jangkaan bahawa akan ada usaha melakukan try yang banyak dan mata bonus untuk direbut. Tetapi jika kedua-dua pasukan mencatat seri, maka Scotland akan mara berdasarkan rekod pertemuan.

Jepun menduduki tempat kedua dalam kumpulan di belakang Ireland Utara hasil tiga kemenangan, empat mata dipisahkan dengan Scotland menjelang pertemuan getir itu.