Natasha Roslan, yang terpaksa menyerahkan kedudukan pendahulu kepada pemain Amerika Syarikat, Kelly Kulick, tetap tenang selepas enam permainan Kejohanan Piala Dunia di Pusat Boling Tenpin Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, pagi tadi.

Natasha kini mengumpul 2543 jatuhan pin untuk menduduki tangga kedua, 67 jatuhan pin di belakang Kulick yang cemerlang dengan 2610 jatuhan pin.

Aumi Guerra dari Republik Dominika -- yang memenangi gelaran pada 2010 dan 2011 -- di tempat ketiga dengan jumlah keseluruhan 2,493 jatuhan pin manakala pemain Korea Selatan, Jeon Eunhee, di kedudukan keempat dengan 2,482 jatuhan pin.

"Saya gembira kerana masih dalam prestasi terbaik. Kejohanan ini masih panjang dan saya lebih gusar mengenai ketekalan permainan," katanya.

"Lorong hari ini lebih sukar berbanding semalam. Sekarang baru saya sedar mengenai kesukaran yang dihadapi pemain lelaki pagi semalam. Saya percaya lorong ini lebih sukar ketika di sebelah pagi.

"Saya berharap dapat mengharungi hari yang lebih baik dan kekal di tahap terbaik sambil mengelak daripada memberikan tekanan kepada diri sendiri bagi menempatkan diri dalam kalangan 24 terbaik, Khamis ini," kata Natasha.

Jurulatih negara, Ben Heng, turut gembira dengan prestasi anak buahnya itu.

"Dia beraksi seperti yang diharapkan. Sekalipun berdepan kesukaran lorong, dia kekal dalam kelompok tiga terbaik pada awal permainan.

"Dalam kejohanan ini, siapa yang sedang mendahului adalah tidak penting memandangkan ada 32 permainan akan mereka tempuhi dan markah akan dibawa ke hadapan, lapan permainan pula akan membabitkan markah bonus menjelang pusingan penyingkiran," katanya.

Atlet berusia 23 tahun itu bermula dengan melakukan 192 jatuhan pin untuk menyerahkan pendahuluan kepada Kulick yang melakukan 229 jatuhan pin selepas ketinggalan 14 jatuhan pin semalam.

Namun, Natasha bangkit dalam permainan kedua menerusi 234 jatuhan pin berbanding 201 jatuhan pin yang dirakam pencabarnya itu untuk merampas kedudukan utama.

Pemain AS itu, bagaimanapun, kembali di puncak dengan deretan 206, 237, 247 dan 197 jatuhan pin berbanding Natasha, 192, 234, 193, 219, 182 disusuli 217 jatuhan pin.

Malah, Kulick -- yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan itu -- turut sependapat bahawa keadaan lorong hari ini lebih sukar.

"Saya lega kerana dapat mengatasi ranjau permainan terakhir (197 jatuhan pin) kerana di lorong seperti ini, mudah untuk terjerumus dengan masalah."