Piala Dunia Boling: Natasha mula langkah kanan

Oleh Bernama 18 November 2019 420
Piala Dunia Boling: Natasha mula langkah kanan
Pemain boling elit kebangsaan, Natasha Roslan, bermula cemerlang dengan mendahului pusingan pertama Piala Dunia Boling ke-55 di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, Indonesia, hari ini.

Pemain 23 tahun itu mencatatkan 216-211-222-228-207-222 untuk mengumpul 1,306 jatuhan pin, diikuti pemain veteran dari Amerika Syarikat, Kelly Kulick (1,293 jatuhan pin), manakala Stephanie Martins dari Brazil ketiga dengan 1,235 jatuhan pin.

Bagi kategori lelaki, Adrian Ang menduduki tempat ke-24 daripada 73 pemain selepas melakukan 1,196 jatuhan pin.

Pemenang tempat kedua edisi Piala Dunia 2015 dari Afrika Selatan, Francois Louw, memberikan amaran awal dengan melakukan 1,345 jatuhan pin keseluruhan, diikuti Daniel Vezi dari Latvia (1,302 jatuhan pin) dan Christoper Sloan dari Ireland di tempat ketiga.

Natasha dan Adrian masing-masing layak ke pusingan kedua yang menyaksikan hanya 24 pemain terbaik dari setiap kategori, layak.

Mengulas prestasinya, Adrian yang bermain dalam Piala Dunia buat kali ketiga menyatakan ia bukanlah satu prestasi yang dia mahukan sewaktu pusingan pertama kerana dia bergelut untuk mencari corak lorong yang terbaik.

"Keadaan lorong agak sukar terutamanya pada lorong di bahagian pusat boling itu dan reaksi bola saya boleh lebih baik lagi, namun akhirnya saya tahu apa yang perlu dilakukan dalam pusingan seterusnya dan berharap keadaan lorong tidak akan berubah dengan banyak," kata pemain berasal dari Pulau Pinang dalam kenyataan dikeluarkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).

Untuk rekod, dalam Piala Dunia 2006 di Venezuela, Adrian menamatkan kejohanan di tangga ke-17 dan di tempat ke-23 ketika berlangsung di Johannesburg, Afrika Selatan pada 2011.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen