Piala Dunia Boling: Natasha mahu cipta sejarah

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2019 239
Piala Dunia Boling: Natasha mahu cipta sejarah
Selepas mengakui terkesan dengan kejayaan skuad boling tenpin negara dalam Kejohanan Asia, Natasha Roslan mengimpikan untuk mencipta sejarah dalam Piala Dunia di Palembang, Indonesia bulan depan.

Ketika ini, skuad wanita negara sudah mengumpulkan dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam Kejohanan Asia yang sedang berlangsung di Kuwait.

Natasha pula sedang mempersiapkan diri sebelum ke Palembang dari 16-24 November ini.

Sejak kategori wanita dipertandingkan dalam Piala Dunia 1972, Malaysia tidak pernah bergelar juara.

Paling hampir dengan kejayaan itu adalah Sin Li Jane yang muncul naib juara dalam edisi tahun lalu.

"Ia merupakan Piala Dunia pertama saya, jadi saya tidak pasti.

"Tetapi saya rasa keadaannya sama sahaja.

"Ada tekanan sebab semua peserta boleh main.

"Memang itu sasaran saya (untuk menjadi juara) sebab pencapaian terbaik skuad wanita hanya nombor dua.

"Jadi, saya mahu mencipta sejarah untuk dapat nombor satu," katanya.

Lapangan bagi Piala Dunia adalah lapangan yang sama digunakan dalam Sukan Asia Indonesia tahun lalu di mana venue itu pernah menyaksikan Natasha muncul naib juara acara enam sepasukan.

"Saya rasa ia satu kelebihan kerana saya sudah mengenali keadaan lorong di sana.

"Dalam Sukan Asia sebelum ini, saya dapat beraksi dengan baik," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen