Badi terus menghantui skuad boling tenpin wanita negara apabila hasrat Natasha Roslan untuk menjulang Piala Dunia lebur selepas terkandas dalam separuh akhir di Palembang, Indonesia hari ini.

Aksi konsisten yang dipamerkan wakil tunggal negara itu sepanjang lima hari lalu, terutama di peringkat kelayakan, akhirnya ditamatkan oleh jaguh Australia, Rebecca Whiting.

Sebelum ini, Natasha berada di ranking kedua peringkat kelayakan dengan mengumpulkan 8,307 jatuhan pin manakala Whiting sekadar mencatatkan 8,145.

Bagaimanapun, dia seakan-akan hilang tumpuan dan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan lorongnya, sekali gus gagal melakukan jatuhan pin terbaik.

Ketika Whiting terus cemerlang dengan ketekalan balingannya, Natasha dipaksa akur menelan kekalahan 176-199 untuk meneruskan kemarau kejuaraan pemain wanita negara sepanjang sejarah kejohanan itu.

Ia termasuk ratu boling negara, Shalin Zulkifli, yang gagal dalam tujuh penampilan dengan pencapaian terbaiknya muncul naib juara pada 1996.

Begitu juga dengan Sin Li Jane yang meraih pencapaian sama pada 2014 sebelum mengulanginya di Las Vegas tahun lalu.

Sementara itu, Whiting dinobatkan juara edisi ini selepas menewaskan Aumi Guerra dari Republik Dominica 172-162 dalam final.