Pemain boling tenpin elit kebangsaan, Natasha Roslan, terus kekal tenang dan beraksi dengan baik bagi memastikan kekal di kedudukan pendahulu seperti semalam untuk menamatkan peringkat pertama 24 permainan dengan mara ke peringkat kedua Piala Dunia Boling Ke-55 di Palembang, Indonesia, hari ini.

Suasana dingin di Pusat Boling Jakabaring sudah pasti tidak memberi kesan kepada prestasi Natasha selepas dia mencatat 203, 205, 212, 201 dan walaupun hanya memperoleh 192 jatuhan pin dalam permainan kelima, dia meraih mata tertinggi pada hari ketiga permainan dengan 235 untuk jumlah keseluruhan 5,016 jatuhan pin.

Pada hari pertama, pemain berusia 23 tahun itu memperoleh 234 mata yang dicatatnya dalam permainan kelapan kerana hanya 24 pemain yang mara ke peringkat kedua.

Pemain Amerika Syarikat, Kelly Kulick, di tangga kedua dengan keseluruhan 4,958 jatuhan pin, 58 pin di belakang Natasha manakala pemain Republik Dominica, Aumi Guerra, dan Maria Koshel dari Russia masing-masing terikat dengan 4,896 jatuhan pin bagi kedudukan ketiga dan keempat.

Berwaspada terhadap keupayaan pencabar untuk memperbaiki kedudukan di peringkat yang akan datang, Natasha yang membuat penampilan sulungnya dalam Piala Dunia berkata adalah penting baginya untuk kekal fokus dan membuat balingan yang tekal.

“Saya bernasib baik dapat terus tekal sepanjang tiga hari yang lalu. Kelayakan sebagai pendahulu dalam kelompok 24 pemain adalah bonus kerana kedudukan ketika ini tidak memberi apa-apa makna. Masih terdapat satu lagi peringkat, iaitu menempuh lapan permainan esok dan adalah penting untuk berada dalam kelompok lapan pemain teratas bagi melepasi peringkat seterusnya.

“Jumlah jatuhan pin daripada peringkat sebelumnya akan dibawa ke hadapan, ia memberi saya sedikit kelebihan. Saya masih perlu beraksi dengan baik, jadi saya tidak boleh terlalu berpuas hati dengan pencapaian ini dan mahu menumpukan satu demi satu permainan.

“Peringkat seterusnya pada Sabtu adalah penting kerana kami akan beraksi dalam lapan permainan secara liga sepusingan dengan mata bonus (30 jatuhan pin ditawarkan jika menang sementara keputusan seri mengutip 15 jatuhan pin dan tiada jatuhan pin akan diberikan jika kalah). Kesemuanya melibatkan 40 jumlah permainan, termasuk mata bonus, bagi menentukan empat pemain teratas yang akan mara ke peringkat keempat,” katanya dalam satu kenyataan daripada penganjur.

Mengulas mengenai prestasi Natasha yang terus mempamerkan aksi memberangsangkan memandangkan ramai pemain menghadapi masalah untuk melakukan balingan secara tekal, jurulatih negara, Ben Heng, berkata pemain kelahiran Subang itu bermain secara mudah tanpa balingan 'hook' yang kuat, jadi permainannya lebih mudah untuk dikekalkan.

Beliau berkata sebahagian pemain wanita yang menghadapi masalah adalah pemain yang melakukan balingan 'hook' sehingga terpaksa melakukan penyesuaian dengan lorong itu.

Sementara itu, wakil lelaki negara, Adrian Ang, turut mara ke peringkat 24 selepas meraih kedudukan ke-16.

-- BERNAMA