Piala Dunia Berbasikal: Azizulhasni tamat saingan di tempat keenam 

Oleh Bernama 30 November 2019 1811
Piala Dunia Berbasikal: Azizulhasni tamat saingan di tempat keenam 
Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam acara keirin dalam siri ketiga Kejohanan Berbasikal Piala Dunia di Hong Kong, malam ini.

Pelumba yang diberi gelaran 'The Pocket Rocketman' itu, yang mendahului saingan kedua pusingan separuh akhir itu mencatatkan 10.531 saat dalam final di Velodrom Hong Kong.

Dalam aksi final itu, acara itu diungguli oleh pelumba New Zealand, Callum Saunders, dengan catatan 10.199s, diekori pelumba Great Britain, Jason Kenny, yang hanya ketinggalan 0.043s.

Pelumba Belanda, Buchli Matthijs, yang mewakili BEAT Cycling Club di tempat ketiga dengan catatan 10.257s.

Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, merekodkan 9.948s untuk mengungguli kedudukan saingan kedua pusingan pertama sekali gus mara ke separuh akhir.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen