Kegagalan merealisasikan misi dalam Piala Davis tahun lalu memaksa ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon, meletakkan sasaran lebih realistik bagi edisi 2020 yang bakal berlangsung Julai depan.

Tahun 2019 menyaksikan Suresh melaungkan keyakinan skuad negara mampu melayakkan diri ke Kumpulan 2 Piala Davis Zon Asia/Oceania daripada Kumpulan 3.

Bagaimanapun, misi itu kekal sebagai impian apabila Malaysia hanya mampu mengekalkan posisi mereka untuk berada dalam Kumpulan 3 Piala Davis.

Justeru, dalam edisi tahun ini, pengendali itu merendahkan sasarannya terhadap kem kebangsaan dengan hanya meletakkan sasaran mengekalkan diri dalam kumpulan 3 saingan itu.

"Saya gemar bersikap optimistik, menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik. Saya tidak mahu kami tersingkir, cuma harapkan kekal dalam kumpulan itu dan jika berpeluang, meraih kedudukan lebih tinggi," katanya.

Suresh juga menambah undian edisi 2020 jelas sukar untuk skuad negara apabila berdepan pencabar seperti Hong Kong, Kuwait, Pacific Oceania dan beberapa pesaing lain.

"Ya, ia sukar. Pencabar agak kuat seperti Hong Kong, Kuwait, Syria dan Vietnam. Ia kumpulan yang sukar."