THAILAND 2 MALAYSIA 1

Pasukan hoki wanita Malaysia gagal meneruskan prestasi baik mereka dalam Kejohanan Hoki Piala Asia Dalam Dewan 2019 selepas tewas 1-2 kepada tuan rumah, Thailand, dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Chonburi, semalam.


Skuad negara gagal bangkit selepas Thailand mendahului dalam separuh masa pertama selepas Tikhamron Sakulpithak menjaringkan dua gol pada minit keenam dan 15, masing-masing menerusi gol padang dan pukulan sudut penalti.

Siti Arfah Mohd Nor berjaya merapatkan kedudukan dengan jaringan pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti, namun gagal menyamakan kedudukan hingga ke wisel penamat.

Malaysia yang menewaskan Singapura 4-0 dalam perlawanan pembukaan Isnin lalu, akan berhadapan Taiwan manakala pasukan lelaki akan bertemu juara bertahan, Iran, hari ini sebelum menamatkan saingan berdepan tuan rumah, Thailand, esok.

Hanya dua pasukan teratas di peringkat kumpulan, layak ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan dwitahunan itu yang juga menawarkan kelayakan ke Piala Dunia 2021.

-- BERNAMA