Jurulatih skuad ragbi Terengganu, Izaimi Zainuddin, enggan pasukan bimbingannya dilabel sebagai pasukan pilihan menjelang perlawanan menentang Johor dalam separuh akhir Piala Agong petang esok.

Menurutnya, kemenangan di peringkat kumpulan bukan lagi ukuran, sebaliknya berasakan Johor pasti melakukan 'kerja rumah' untuk berdepan Terengganu.

Justeru, Izaimi menuntut skuad bimbingannya untuk memperkemaskan benteng pertahanan dan tidak mengulangi kesilapan ketika bertemu Kuala Lumpur kelmarin.

Terengganu meneruskan kemaraan dalam Piala Agong selepas membenam pasukan Warga Kota itu 42-17 dalam suku akhir di Padang UPM, Serdang.

Kemenangan itu mengesahkan pertemuan kedua Terengganu dengan Johor selepas aksi saingan Divisyen Premier di Kota Tinggi awal bulan lalu dimenangi Terengganu 36-25.

"Johor memberikan tentangan sengit dan melakukan sehingga empat try dan saya pasti mereka tahu kelemahan kami.

"Jadi, aspek pertahanan kami perlu diperkemaskan, terutama di zon bahaya, untuk menutup ruang buat lawan.

"Saya lihat pemain-pemain sudah bersedia dan Terengganu akan bermain lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Kredit foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu