Piala Agong: Terengganu sasar empat terbaik

Oleh Tengku Danish Bahri 1 Oktober 2018 138
Piala Agong: Terengganu sasar empat terbaik
Skuad ragbi Terengganu meletakkan sasaran muncul empat pasukan terbaik dalam Kejohanan Piala Agong yang akan membuka tirainya Sabtu ini.

Turun dengan reputasi naib juara tahun lalu, Terengganu yang dibimbing Mohd Mazuri Salehuddin, berdepan tugas sukar dengan persiapan singkat sebelum menentang Perak.

Sambil mengakui kekangan itu akan memberi masalah mengambil kira persiapan rapi pasukan lain, Mazuri masih melihat Terengganu antara pencabar utama menjuarai Piala Agong.

"Kekuatan semua pasukan agak seimbang dan peluang Terengganu bergantung kepada prestasi dalam pusingan awal (Premier).

"Walaupun tidak meletakkan harapan besar, saya yakin kami mampu berada dalam kedudukan empat terbaik," katanya yang juga pengurus besar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Sementara itu, selain mengekalkan sebahagian besar pemain tahun lalu, termasuk pemain import, Timoci Vunimoku, tiga lagi tonggak kelahiran Fiji akan tiba minggu ini.

Mazuri berkata skuad bimbingannya akan berlatih di ibu negara dan dijadualkan bertemu Selangor dalam aksi persahabatan, esok, sekali gus memberi peluang Terengganu mencari keserasian terbaik.

"Dalam tempoh latihan yang singkat ini, saya akan memberi perhatian memastikan pemain-pemain beraksi dalam satu pasukan dan membaiki kelemahan mereka," jelas jurulatih kelahiran Negeri Sembilan itu lagi.

Selain aksi Terengganu-Perak di Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak, satu lagi perlawanan Premier akan menemukan Johor dan Kedah di Kota Tinggi, juga berlangsung Sabtu ini.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen