Skuad ragbi Terengganu terpaksa melupakan khidmat tiga tonggak menjelang perlawanan menentang Kuala Lumpur dalam suku akhir Piala Agong di Serdang, Ahad ini.

Ketua jurulatihnya, Izaimi Zainuddin, berkata Mohd Shobrey Amok dan Sufi Hafizuddin Hadwan tidak sempat pulih daripada kecederaan lutut.

Pemain import Fiji, Iowane Toba, pula akan diketepikan ekoran penggantungan dua perlawanan.

Walaupun merasai kehilangan tiga pemain itu, Izami tetap yakin barisan pemain sedia ada mampu menggalas kekosongan yang ditinggalkan dalam misi meneruskan rentak kemenangan.

"Shobrey dan Sufi masih dalam proses pemulihan sementara Toba akan terlepas aksi suku akhir serta separuh akhir jika kami layak.

"Pemain lain boleh gantikan tempat mereka dan saya harap Terengganu dapat mengekalkan momentum tiga kemenangan di peringkat kumpulan," katanya.

Apa yang agak melegakan kem Terengganu adalah persefahaman yang kian baik selepas berkumpul di Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak dua minggu lalu.

Ia termasuk mengatasi RMAF Blackhawks 29-5 dalam aksi pemanas badan awal bulan ini.

Izami, begitupun, menyifatkan Kuala Lumpur bukan lawan mudah selain mahu skuad bimbingannya mengelak daripada membuat kesilapan mudah.

"Walaupun menang tiga perlawanan sebelum ini, aksi suku akhir pastinya lebih getir," tambahnya.