Skuad ragbi Terengganu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak untuk memulakan saingan Piala Agong dengan langkah kanan selepas menewaskan Perak 65-14, kelmarin.

Anak buah Mohd Mazuri Salehuddin itu ternyata garang melakukan tujuh try dan menyempurnakan empat conversion menerusi Alif Sazrie Azmie untuk mendahului 43-0 sehingga tamat separuh masa.

Bersambung babak berikutnya, Muhammad Norridzwan Nordin melakukan try pertama Perak sebelum coversion daripada Muhammad Hilmi Amiruddin menjadikan kedudukan 7-53.

Perak cuba bangkit, malangnya satu try masing-masing dilakukan pemain tuan rumah, Lawrence Petrus dan Stanley Sedry Stephen, serta conversion daripada Mohamad Faris Pead meletakkan Terengganu selesa mendahului 65-7.

Mohamad Azli Zainal Azhar menambah mata Perak yang berpunca daripada satu try manakala conversion Muhammad Hilmi menamatkan perlawanan dengan kedudukan 14-65 sehingga tamat.

Dalam satu lagi perlawanan Premier, juara bertahan, Johor, dikejutkan di tempat sendiri selepas tewas tipis 24-26 kepada Kedah.

Terengganu akan berkunjung ke Kedah manakala Perak menanti kunjungan Johor di Ipoh dalam aksi kedua, minggu depan.

Kredit foto: Pasukan Ragbi Terengganu (TRT)