Juara bertahan Kejohanan Bola Keranjang Piala Agong, Negeri Sembilan, mengesahkan tiket ke separuh akhir edisi 2018 dengan kemenangan 136-26 ke atas Pilihan MABA dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Kemenangan itu membuktikan betapa Negeri Sembilan berada dalam kelas berbeza berbanding pencabar lain.

Dua aksi terdahulu peringkat Kumpulan A menyaksikan mereka mengatasi Westports Malaysia Dragons 94-53 dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 120-28.

Mendahului suku pertama dengan kelebihan 33 mata di kedudukan 40-7 sudah memadai untuk memberi petanda bahawa MABA bukan tandingan mereka.

Kemenangan 136-26 itu juga ibarat amaran kepada satu lagi pilihan kejuaraan musim ini, PDRM, yang unggul mengetuai Kumpulan B.

"Saya sangat gembira. Saya rasa kami memilih detik terbaik untuk menghadapi kejuaraan dan ia adalah matlamat utama. Kami akan berdepan separuh akhir selepas ini.

"PDRM adalah pasukan yang bagus kerana mereka berpengalaman tetapi kami akan menghadapi cabaran itu," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Brian Lester.