Skuad ragbi Kedah mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan Piala Agong selepas menumpaskan naib juara tahun lalu, Terengganu, 37-24 di Stadium Sultan Sultan Abdul Halim, kelmarin.

Beraksi selaku tuan rumah, Kedah bermula baik menerusi satu try masing-masing daripada Mohd Akmal Abdul Manaf dan Mohd Fared Ya serta dua conversion Muhammad Faizal Md Tahir.

Ketinggalan 0-14, Terengganu bangkit apabila Stanley Sedry Stephen, Muhammad Haikal Ibrahim dan Timuci Vunimoku melakukan try sebelum Muhammad Faris Pead menyudahkan conversion untuk menamatkan babak pertama 17-14 di depan.

Kelebihan tersebut begitupun gagal dipertahankan Terengganu, sebaliknya Kedah tampil lebih garang dalam babak kedua untuk memenangi perlawanan.

Muhammad Faizal muncul wira Kedah menambah mata melalui tiga lagi try serta satu try Mohd Syahmi Afiq Edan dan penalti disempurnakan Mohd Akmal yang memberikan mata ke-37 tuan tumah.

Terengganu pula hanya mampu menambah tujuh mata hasil try dan conversion daripada Aliff Sazrie Azmi yang menyaksikan kemenangan 37-24 berpihak kepada Kedah.

Menurut jurulatih Terengganu, Mohd Mazuri Salehuddin, masalah kecederaan dan kecergasan pemain pasukannya menjadi faktor utama Terengganu tewas walaupun mendahului selepas tamat separuh masa.

Kelonggaran barisan pertahanan juga jelasnya begitu ketara sehingga pemain Kedah mudah mengambil kesempatan melakukan try di bahagian sayap.

"Pemain-pemain saya gagal menumbangkan tonggak pasukan lawan dan kami perlu segera memperkemaskan rentak kerana Johor juga dibarisi pemain yang lebih kurang sama," tambah Mazuri.

Dalam satu lagi perlawanan Divisyen Premier, juara bertahan, Johor, turut mencatat kemenangan dengan membelasah Perak 43-5.

Terengganu akan berkunjung ke Kota Tinggi untuk berdepan Johor, Sabtu ini, manakala Kedah melayan Perak dalam aksi terakhir Divisyen Premier.

Lain-lain keputusan di Divisyen Satu menyaksikan Kelantan menewaskan PDRM 22-13 dan Negeri Sembilan menang tipis 25-23 ke atas ATM.

Selangor dan Melaka pula menang dalam aksi Divisyen Dua selepas masing-masing menundukkan Pulau Pinang serta Pahang.

Kredit foto: Pasukan Ragbi Terengganu (TRT)