Negeri Sembilan membuktikan keunggulan dengan mengesahkan gelaran juara buat kali keempat berturut-turut selepas menumpaskan PDRM dalam aksi final bola keranjang lelaki Piala Agong 2018, sebentar tadi.

Juara bertahan itu bermula baik untuk menguasai perlawanan seawal suku masa pertama sebelum PDRM berjaya mengejar untuk menyamakan kedudukan 21-21.

Negeri Sembilan ibarat hilang rentak apabila skuad kendalian Kaang Choon Leong itu melepasi setiap halangan lawan untuk kembali menerajui perlawanan bagi mengakhiri aksi separuh masa pertama dengan berada di depan 37-32.

Bersambung babak kedua, PDRM terus mengekalkan aksi agresif mengatasi Negeri Sembilan untuk kembali berada di depan dengan kelebihan tiga mata.

Namun, dalam suku terakhir, percaturan jurulatih Negeri Sembilan, Brian Lester, akhirnya berhasil bagi memastikan penguasaan milik mereka untuk membalas jaringan sehingga menoktahkan kemenangan buat kali keempat dengan keputusan 67-63.

"PDRM telah bermain dengan baik tetapi kami sangat bertuah untuk meraih kemenangan ini," kata Lester.

Bagi acara wanita pula, Negeri Sembilan muncul juara apabila menundukkan pasukan Segamat BA 85-35.

Skuad bimbingan Lee Kheng Tian itu tiada masalah untuk memimpin perlawanan dari awal bagi memastikan kejuaraan milik mereka.

"Kami mengutamakan permainan bertahan dalam perlawanan ini," kata Kheng Tian.