PHISGOC tak 'gentleman' -- Megat Zulkarnain

Oleh Staff Writer 30 Januari 2020 225
PHISGOC tak 'gentleman' -- Megat Zulkarnain
Chef-de-Mission (CDM) Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menegaskan tindakan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) menarik balik pingat emas gimnas berirama negara, Izzah Amzan, sebagai tidak "gentleman".
 
Sebelum ini, Sukan SEA 2019 mengalami beberapa kemelut yang memberi kesan kepada kontinjen negara, bagaimanapun yang paling menyerlah adalah isu pingat emas Izzah menerusi acara reben.

Walaupun diputuskan pingat itu milik Izzah ketika temasya dwitahunan itu bulan lalu, PHISGOC membuat kejutan apabila menarik balik pingat atlet berusia 20 tahun itu menerusi kenyataan di laman sesawang Sukan SEA 2019 selepas hampir dua bulan saingan berakhir.

"Kami telah pun membuat bantahan terhadap perkara ini ketika berada di Manila, namun pihak PHISGOC memilih untuk tidak mencabar keputusan tersebut. Saya amat kesal dengan PHISGOC kerana tidak 'gentleman' dalam menangani isu ini," kata Megat Zulkarnain.

"Kami akan terus berjuang pingat emas yang diraih oleh Izzah kerana keputusannya terang-terangan milik Malaysia," kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, pula.

Megat Zulkarnain turut mengingatkan kontinjen para negara yang bakal beraksi dalam Sukan Para ASEAN, Mac depan untuk menjadikan apa yang berlaku itu sebagai satu pengajaran.

"Pada peringkat awal, sudah nampak masalah penganjuran Sukan Para ASEAN kali ini. Saya berharap kontinjen negara akan tegas dalam setiap keputusan yang dilakukan nanti."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen