Pesilat Sabah diyakini mampu mengekalkan prestasi walaupun persiapan mereka bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) sedikit terjejas berikutan Covid-19.

"Kami sudah buat perancangan terperinci dalam persiapan menghadapi Sukma 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung pada Julai depan, namun ia (Sukma) telah ditunda dan tarikh baru belum diputuskan.

"Persiapan juga terganggu disebabkan wabak Covid-19 tetapi saya percaya pesilat kami mampu menjaga prestasi walaupun kini berlatih sendiri di rumah masing-masing ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April," kata Yang Di-Pertua Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS PESAKA Sabah), Datuk Iliyas Ibrahim, ketika dihubungi semalam.

Iliyas berkata pesilat Sukma Sabah sempat mengadakan latihan pusat di Kota Kinabalu pada 3 hingga 9 Februari serta 11 hingga 16 Mac lalu.

Tambah beliau, 30 pesilat yang terdiri daripada 17 lelaki dan 13 wanita telah disenaraikan bagi membawa cabaran Sabah ke Sukma nanti.

"Tiga puluh pesilat ini terpilih daripada 60 yang senarai awal dan mereka inilah yang telah menjalani latihan pusat di Dewan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) di Batu 2, Jalan Tuaran pada 11 hingga 16 Mac lalu.

"Bagaimanapun, mereka kini menjalani latihan sendiri di rumah masing-masing bagi mematuhi PKP," katanya.

Beliau berkata, PSS PESAKA Sabah juga ada senarai pengganti jika ada di antara pesilat yang terpaksa digugurkan disebabkan kecederaan atau sakit.

Katanya, perkembangan prestasi pesilat akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka sentiasa di tahap terbaik.

Skuad silat Sukma Sabah dibimbing tiga jurulatih, iaitu Emy latif, Nurulain Sohrab dan Mohammad Daud, manakala pengurus pasukan ialah naib Yang DiPertua PSS PESAKA Sabah, Awang Mesri Awang Kepli.

"Walaupun pasukan silat adalah penyumbang pingat emas terbanyak untuk Sabah dalam Sukma 2018 di Perak, kami masih menganggap temasya di Johor nanti adalah satu tugas besar yang mencabar.

"Kami tidak tetapkan sebarang sasaran pingat tetapi jika dapat mempertahankan lima emas, ia sudah cukup bagus," kata Iliyas lagi.