"Tiada Kejohanan Dunia, fokus Sukan Asia sahaja," demikian pengesahan oleh ketua jurulatih silat negara, Nasri Nasir, mengenai penangguhan Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018.

Kejohanan itu akan digantikan dengan Kejohanan Pra-Sukan Asia pada Februari depan sebagai persiapan ke temasya sukan terbesar Asia di Jakarta dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.

Kejohanan Dunia yang sepatutnya diadakan pada Mac 2018 di Jakarta, ditangguh ke satu tarikh yang belum ditetapkan bagi memberi ruang kepada Sukan Asia yang berlangsung di venue sama.

Bagaimanapun, ia digantikan dengan Pra-Sukan Asia di mana silat akan dipertandingkan buat kali pertama dalam temasya itu.

Jelas Nasri, sasaran masih belum ditetapkan, namun mahu anak buahnya yang bergelar juara dunia tidak menghampakan negara.

"Kami perlu mempersiapkan atlet daripada segi corak permainan selain keperluan biasa.

"Dalam Pra-Sukan Asia, barulah kami akan mengenal pasti kekurangan dan kelebihan pasukan kita dalam usaha untuk mencapai sasaran dalam pertandingan sebenar nanti," katanya.

Program latihan sehingga akhir tahun ini telah dirangka buat pesilat negara, termasuk menjalani latihan di Korea Selatan dan Autralia sebelum menghadapi Terbuka Belanda, 20 hingga 28 November ini.

Sementara itu, penutup bagi tahun ini adalah kem latihan tiga minggu di Cameron Highlands pada Disember ini.

"Untuk program Sukan Asia ini, Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini memutuskan bahawa atlet-atlet ini dipanggil mengikut kategori yang ada dalam Sukan Asia.

"Bagitu juga untuk Program Podium, kami memasukkan nama pesilat yang mempunyai kategorinya dalam Sukan Asia 2018 nanti," kata Pengurus Silat Malaysia, Datuk Osman Nok.