PESAKA rombak barisan pesilat, jurulatih

Oleh Bernama 30 Disember 2019 116
PESAKA rombak barisan pesilat, jurulatih
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bakal melakukan rombakan barisan pesilat dan kejurulatihan sedia ada bagi menghadapi beberapa kejohanan penting tahun depan.
 
Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata rombakan berkenaan bertujuan memantapkan skuad sedia ada selain memberi peluang kepada pesilat baru, terutama bagi mereka yang menyinar dalam kejohanan kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor untuk mewakili skuad kebangsaan.
 
"Kami akan menggugurkan pesilat yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini walaupun pelbagai peringatan sudah diberikan kepada mereka dan penilaian prestasi berkenaan melibatkan kesemua 27 pesilat sedia ada selain tiga jurulatih.
 
"Saya sudah meminta pengurus pasukan, Datuk Osman Nok, untuk menyerahkan laporan penuh kepada saya berhubung prestasi setiap pesilat kami sepanjang tahun ini untuk dinilai oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Penyediaan Atlet Kebangsaan PESAKA," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
 
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain memaklumkan jawatankuasa berkenaan dijangka mengadakan mesyuarat pada 4 atau 5 Januari depan bagi menentukan senarai baru pesilat dan jurulatih sebelum membentangkan senarai penuh nama berkenaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pada Januari depan. 
 
Dalam pada itu, ketua kontinjen Sukan SEA dari 30 November hingga 11 Disember lalu itu mendedahkan bahawa pesilat elit negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir, yang mengalami kecederaan serius di muka ketika beraksi di Filipina sudah beransur pulih.

Menurutnya, pesilat kelahiran Petaling Jaya, Selangor, itu sedang menjalani program pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau memaklumkan penyertaan Muhammad Faizul dalam beberapa kejohanan antarabangsa awal tahun depan hanya akan diputuskan setelah pesilat berkenaan pulih sepenuhnya daripada kecederaannya.
 
Skuad silat negara dijangka menyertai tiga kejohanan antarabangsa awal tahun depan, bermula dengan Kejohanan Silat Terbuka Uzbekistan di Tashkent bulan depan, disusuli Kejohanan Empat Negara di Kuala Lumpur (Februari) dan Kejohanan Silat Terbuka Belgium (Mac).
 
Muhammad Faizul sebelum ini dilaporkan koma setelah terkena sepakan pesilat Filipina, Dines Dumaan, dalam aksi pusingan awal kelas Putera B (50-55kg) di Pusat Pameran dan Konvensyen Subic, 3 Disember lalu.
 
Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu dilaporkan dikejarkan ke James L. Gordon Hospital dan Baypointe Hospital and Medical Center sebelum dirujuk kepada doktor pakar The Medical City, Clark, susulan dua pusat perubatan berkenaan dikatakan kekurangan doktor pakar.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen