Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) akan mula mengambil serius dalam membentuk pesilat pelapis setaraf dengan Muhammad Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohd Nasir, selepas berakhir Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Indonesia, semalam.

Melihat kejayaan dua pesilat negara yang melakar kejuaraan hatrik, sudah tiba masa untuk PESAKA mengambil serius dalam membentuk lebih ramai atlet pelapis setaraf mereka.

Berjaya melahirkan juara dunia baru, iaitu Razak Ghazali, yang merangkul pingat emas pertama di pentas dunia, iasudah cukup untuk membuktikan negara masih mempunyai pesilat setanding Al Jufferi dan Siti Rahmah.

Apatah lagi, Siti Rahmah telah menyatakan hasratnya untuk tidak lagi menyertai Kejohanan Dunia pada masa akan datang.

"PESAKA mempunyai ramai pelapis dan program pembangunan PESAKA berlangsung dengan baik.

"Kami tidak ketandusan pesilat tetapi saya akan berbincang dengan Siti Rahmah mengenai keputusannya. Jika boleh, saya mahu melihat dia bertanding di Sukan Asia.

"Jika selepas itu dia mahu bersara, kami akan memahaminya dan tidak akan menghalang," kata Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menyaksikan pertarungan yang cukup sengit melibatkan negara Indonesia dan Vietnam sepanjang kejohanan, Megat Zulkarnain berharap pesilat negara dapat belajar sesuatu yang berguna sebagai persediaan untuk ke Sukan SEA 2017 kerana mereka sudah pastinya akan berdepan lawan yang sama di Kuala Lumpur nanti.

"Kami mahu menutup soal Kejohanan Dunia dan kami mempunyai juara dunia yang baru, iaitu Razak.

"Kami akan memikirkan persediaan untuk Sukan SEA dan sasaran untuk mendapatkan pingat emas, kami telah bersedia dan PESAKA berani untuk menyatakan kami bakal muncul juara keseluruhan."