Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, lega apabila usul direncanakan delegasi negara berjaya mengetepikan usaha Indonesia untuk muncul sebagai pemilik mutlak sukan itu.

Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang berlangsung di Bogota, Colombia bermula 9 Disember lalu menyaksikan Malaysia mempunyai hak ke atas seni pertahanan diri silat secara keseluruhan.

Pengiktirafan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemilik mutlak seni pertahanan diri itu sambil negara jiran, Indonesia, pula berpuas hati dengan cabangnya, iaitu pencak silat, dengan kedua-duanya diletakkan di bawah kategori warisan budaya tidak ketara kemanusiaan.

"Kami tidak guna pencak silat kerana di Malaysia hanya digunakan silat atau seni silat. Kami setuju dengan perkataan silat sahaja, ia merangkumi semua termasuk silat sukan, silat budaya serta pencak silat. Namun, Indonesia tidak mahu," katanya.

Malaysia telah pun memperjuangkan hak menyenaraikan silat sebagai warisan dunia sejak tahun 2015 lagi.

Perkembangan itu secara tidak langsung merancakkan lagi status Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Silat Dunia Ke-19 tahun depan.

"Kami takut jika mereka dapat dulu, silat melayu ini dikatakan milik mereka. Kedua-duanya lulus. Pencak silat milik Indonesia dan silat milik Malaysia. Ia diluluskan pada hari yang sama."