PESAKA beri amaran supaya pesilat kawal berat badan

Oleh Muzaffar Musa 30 Mac 2020 58
PESAKA beri amaran supaya pesilat kawal berat badan
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin, menegaskan bahawa tiada zon selesa buat mana-mana pesilat memandangkan mereka berisiko untuk kehilangan tempat dalam skuad negara seandainya berat badan melebihi kategori masing-masing.

PESAKA menaruh keyakinan sepenuhnya kepada kesemua pesilat di bawah naungan badan induk itu walaupun mereka terpaksa duduk di rumah berikutan perintah kawalan pergerakan yang ditetapkan Kerajaan Malaysia bagi membendung pandemik Covid-19.

Tiada hukuman atau denda akan dikenakan seandainya berat badan mereka bertambah, namun berisiko untuk kehilangan tempat bagi mewakili negara memandangkan setiap kejohanan yang akan disertai mempunyai kategori berat badan yang perlu dipatuhi.

"Jika kami kenakan denda sebanyak RM500 atau RM1,000, mereka boleh bayar tetapi mereka tahu tempat mereka masih terjamin.

"Bagi saya, ia lebih parah sekiranya mereka terkeluar daripada kontinjen.

"Jadi, itulah yang mereka takut.

"Itu adalah budaya yang kami amalkan dalam PESAKA, sekiranya anda tidak cukup cergas, sekiranya anda tidak boleh jaga disiplin, anda tidak boleh kawal diri, maka keluar daripada PESAKA," katanya.

Dalam masa sama, PESAKA sudah menetapkan tarikh baru bagi penganjuran Kejohanan Silat Dunia di Sarawak dengan kejohanan yang sepatutnhya berlangsung pada Julai depan itu akan dianjakkan kepada 7 hingga 13 Disember depan.

"Kami sudah mengambil keputusan untuk menangguhkan Kejohanan Silat Dunia kepada Disember depan.

"Kami berdoa mudah-mudahan pada waktu itu, kita sudah selesai menghadapi wabak koronavirus.

"Kami sudah memaklumkan kepada semua negara yang mengambil bahagian dan mereka berterima kasih di atas keputusan itu," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen