Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) tidak menjanjikan tempat buat ketua jurulatih, Tracey Robinson, tahun depan jika tiada peruntukan buat badan sukan itu.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha Kehormat PBJM, Zainon Md Noh, mengenai usaha mengekalkan status ketua jurulatih yang telah mengangkat anak buah kendaliannya mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember lalu.

Buat masa ini, Zainon masih menunggu keputusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meletakkan pasukan bola jaring di bawah program sukan untuk wanita.

Seandainya pasukan bola jaring berada dalam program itu dan menerima peruntukan, maka masih ada kemungkinan PBJM mendapatkan jurulatih antarabangsa, selain Tracey.

"Saya tunggu hasil keputusan mesyuarat exco sama ada mahu mengekalkan Tracey atau mengambil jurulatih asing yang lain bagi membolehkan atlet menambah ilmu.

"Saya harap jurulatih tempatan juga dapat memanfaatkan ilmu yang diturunkan jurulatih asing," katanya hari ini.

Dalam pada itu, Zainon juga mengharapkan peruntukan daripada Belanjawan 2020 bagi merealisasikan perancangan untuk mendapatkan pusat kecemerlangan sendiri buat pasukan bola jaring.

"Bola jaring bukan sukan teras jadi kami menunggu bantuan daripada MSN.

"Kalau ada peruntukan daripada program wanita, kami menunggunya."

Editor: Shaiful Shamsudin