Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, mendapat tonik terbaik sebelum berentap dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Chiangmai, Thailand, 15 Disember ini, apabila berpeluang mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perbincangan selama 20 minit itu Rabu lalu digunakan sebaik mungkin oleh Syarul untuk menerangkan permasalahan yang dihadapi daripada segi pembahagian insentif kemenangan bernilai RM20,000 yang tertunggak hampir setahun selain pembangunan sukan bina badan di Malaysia.

Syarul mendapat maklum balas positif sambil menjelaskan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah pun menyelesaikan masalah berkenaan dan ia memberi kelegaan untuk Syarul memburu gelaran Mr. Universe buat kali ketiga.

"Menteri Belia dan Sukan faham mengenai kekurangan yang dihadapi para atlet.

"Saya sudah memaklumkan kepada Syed Saddiq mengenai masalah dana dalam sukan bina badan selain ramai remaja yang meminati sukan bina badan dan kecergasan kerana skop bidang ini besar.

"Oleh itu, Syed Saddiq memberi jaminan sedia membantu sukan bina badan," katanya.

Jika Syarul meraih gelaran dunia tahun ini, dia yakin peluangnya lebih cerah untuk merangkul gelaran Olahragawan Kebangsaan berbanding tahun lalu apabila terpaksa bersaing dengan juara dunia dari sukan lain seperti penerjun, Cheong Jun Hoong, atlet wusyu, Wong Weng Son, serta jaguh silat, Al-Jufferi Jamari.

Kali terakhir atlet bina badan muncul sebagai Olahragawan Kebangsaan adalah menerusi Sazali Samad pada 2015.

"Buat masa ini, saya langsung tidak terfikir mengenai status Olahragawan Kebangsaan kerana hanya fokus kepada pertandingan Mr. Universe.

"Kalau dicalonkan, saya anggap ia sebagai rezeki," katanya lagi.