Persiapan skuad wanita akan dijalankan sebaik mungkin -- KRM

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2018 66
Persiapan skuad wanita akan dijalankan sebaik mungkin -- KRM
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan memastikan program persiapan skuad ragbi tujuh sepasukan wanita untuk menghadapi kejohanan Siri Asia 2019 dapat diusahakan sebaik mungkin di sebalik kekangan dana ketika ini.

Skuad tujuh sepasukan wanita negara melakar sejarah tersendiri selepas menjuarai Kejohanan Trofi Asia 2018 di Brunei Darussalam, minggu lalu.

Ia sekali gus menyaksikan mereka layak untuk bermain dalam kejohanan Siri Asia tahun hadapan, namun ketua jurulatih mereka, Nik Safuan Ismade Nik Man, percaya persiapan lebih rapi perlu dilakukan, termasuk program latihan di luar negara.

Menurut Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, pihaknya akan meneliti program tersebut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) kerana acara itu juga berkemungkinan akan dipertandingkan dalam temasya Sukan SEA Filipina 2019.

"Kami tidak mempunyai dana untuk menyediakan program jangka panjang selama setahun.

"Jika MSN dapat memberikan sokongan seperti yang kami perolehi ketika dalam Sukan SEA 2017 dan Sukan Asia 2018, ia akan menjadi platform untuk kami terus menggarap pasukan wanita," katanya.

Sementara itu, Shahrul Zaman menganggap Malaysia melakukan keputusan tepat dengan tidak menyenaraikan pemain import walaupun skuad lelaki negara terpaksa akur tersingkir ke saingan Trofi Asia musim 2019.

Rentak ketika meraih tempat kelima dalam temasya Sukan Asia Indonesia 2018 tidak dapat diteruskan skuad kendalian Saizul Hafifi Md Noor apabila meraih tempat kelapan keseluruhan Siri Asia 2018 yang merangkumi tiga pertandingan.

Malaysia tersingkir ke saingan Trofi Asia pada musim 2019 dan Shahrul Zaman percaya mereka akan bangkit semula untuk kembali ke Siri Asia pada tahun berikutnya.

"Kami membuat keputusan untuk menggunakan pemain-pemain tempatan dan kami terpaksa membayarnya dengan harga yang tinggi apabila tersingkir.

"Saya melihatnya sebagai cabaran untuk kami kembali ke peringkat Siri Asia pada tahun 2020 dengan menjuarai Trofi Asia," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen