Ketiadaan dua pelumba berpengalaman tidak menjejaskan peluang pasukan PDRM untuk menghadapi saingan berbasikal Jelajah Malaysia 2016 dari 18 hingga 22 Oktober ini.

Skuad PDRM menampilkan barisan pelumba berbeza bagi edisi kali ini dengan misi untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu.

Pelumba kebangsaan, Fauzan Ahmad Lutfi, muncul pelumba terbaik pasukan itu dalam Jelajah Malaysia 2015, namun dia tidak mengambil bahagian pada edisi kali ini.

Selain Fauzan, PDRM juga tidak mempertaruhkan seorang lagi pelumba kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkefli.

Lantas, sandaran kini terletak kepada Amir Mustafa Rusli untuk memimpin pasukan.

"Fauzan dengan Nik tidak dapat menyertai pasukan PDRM tetapi kami tetap meneruskan perjuangan kerana kami juga ada bekas pelumba basikal negara sebelum ini.

"Jurulatih juga mahu Malaysia muncul pelumba terbaik dalam acara berpasukan," kata Amir.

Amir turut berpandangan saingan kali ini lebih berbeza berbanding beberapa edisi sebelumnya kerana membabitkan laluan yang jarang dilalui pelumba.

Bagaimanapun, bekas pelumba kebangsaan ini menaruh keyakinan dengan persediaan rapi yang telah dilakukan seluruh pasukan, kedudukan lebih baik dalam kategori keseluruhan dapat dicapai.

"Bulan lalu, kami ada berlatih dengan mencuba laluan Jelajah Malaysia, jadi secara keseluruhan persiapan kami teratur."

Jelajah Malaysia 2016 yang akan disertai 20 pasukan rantau Asia Pasifik meliputi lima peringkat sepanjang 750.2km di semenanjung Malaysia.

Laluan Jelajah Malaysia 2016

Peringkat 1, 18 Okt: Kuala Lumpur – Ipoh (206.6km)
Peringkat 2, 19 Okt : Infoternak Sungai Siput – Brinchang (108.7km)
Peringkat 3, 20 Okt : Gua Musang – Pasir Puteh (163km)
Peringkat 4, 21 Okt : Machang – Gong Badak (124.8km)
Peringkat 5, 22 Okt : Kemaman – Kuala Terengganu (147.1km)