Persatuan perlu fokus penstrukturan program latihan -- MSN

Oleh Penulis Jemputan 13 November 2018 86
Persatuan perlu fokus penstrukturan program latihan -- MSN
Persatuan sukan kebangsaan perlu fokus kepada cadangan program latihan terlebih dahulu sebelum segala peruntukan dapat dikenal pasti berdasarkan program dalam bengkel penstrukturan semula program latihan atlet yang bermula hari ini.

Sebanyak 26 persatuan sukan kebangsaan hadir dalam bengkel tersebut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). 

Program pada sebelah pagi dimulakan dengan ucapan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab di antara persatuan dan MSN. 

Antara persatuan yang terlibat adalah sukan yang berpotensi membutirkan pingat di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 seperti terjun, berbasikal dan badminton. 

Turut hadir adalah wakil persatuan sukan-sukan lain seperti skuasy, silat dan boling tenpin. 

Bengkel yang diadakan selama dua hari itu hanya melibatkan program latihan untuk atlet senior terlebih dahulu.

Persatuan-persatuan berkenaan perlu mengenal pasti segala program latihan atlet mereka mengikut peringkat yang telah ditetapkan. 

"Kami mempertemukan semua pihak dalam bengkel ini bagi membincangkan pelan latihan terbaik untuk tahun depan.

"Saya telah menerangkan kepada mereka tentang struktur program latihan yang baru dan mereka menerima sepenuhnya cadangan itu," kata Shapawi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen