Bekas Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar, menganggap cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sepatutnya telah dilaksanakan dari awal sebelum banyak isu yang lebih serius berlaku.

Elyas ternyata bersetuju dengan cadangan MOM untuk ASUM mewujudkan lima persatuan mengikut pecahan acara yang dapat memberi lebih banyak kebaikan bagi setiap sukan air selepas ini.

Baginya, cadangan sedemikian sepatutnya telah dilaksanakan lebih awal bagi memastikan kes serius seperti apa yang berlaku kepada ketua jurulatih terjun, Yang Zhuliang, dapat diatasi sebaik-baiknya.

Bukan itu sahaja, sukan yang kurang menyerlah seperti renang dan polo air juga pastinya akan mendapat tumpuan yang lebih baik menerusi persatuan masing-masing.

"Sukan akuatik gagal diberikan perhatian penuh dan itu merupakan punca masalah yang berlaku sejak kebelakangan ini," katanya.

Selaku bekas presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berjaya suatu ketika dahulu, Elyas tidak menolak akan terdapat sedikit kelemahan pada awalnya nanti, mungkin daripada segi kewangan.

Justeru, khidmat bekas-bekas atlet berkemungkinan ditagih dalam membantu pembangunan sukan itu dalam persatuan.

"Dengan hadirnya lima persatuan bagi lima acara sukan akuatik ini, kekangan daripada segi kewangan serta pembangunan sukan tersebut berkemungkinan besar terjejas," katanya.