Pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan, mencadangkan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menempatkan seorang pegawai untuk memantau satu persatuan sukan kebangsaan bagi mengurangkan kes doping susulan isu membabitkan skuad sepak takraw negara.

Malaysia akan mencatat rekod baru kes doping jika sembilan individu skuad sepak takraw negara didapati bersalah enggan menjalani ujian doping ketika Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.

Tahun ini, 14 kes doping sudah dicatatkan, berbanding rekod tertinggi 16 kes pada 2014.

Justeru, langkah drastik perlu dilakukan, termasuk menempatkan pegawai ADAMAS di setiap persatuan sukan kebangsaan.

"Angkanya meningkat hampir setiap bulan dan setiap selepas satu kejohanan, ada sahaja kes doping timbul.

"Adalah wajar buat masa ini seorang pegawai ditempatkan di setiap persatuan bagi memantau dan juga mendidik atlet dan pegawai di setiap persatuan," jelas Faithal.

Masalahnya, ADAMAS hanya mempunyai beberapa kakitangan, sekaligus tidak cukup untuk memantau semua persatuan sukan kebangsaan, terutama 38 acara yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Namun, jika masalah ini tidak diatasi, dibimbangi temasya itu nanti akan menjadi lubuk kes doping hingga mampu mencemar imej Malaysia selaku tuan rumah.

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pula sependapat bahawa Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) perlu duduk berbincang mencari jalan penyelesaian.

Ini bagi memastikan acara sepak takraw Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak terjejas dengan menawarkan lima pingat emas.

Malah, pegawai PSM, terutamanya, perlu mengendurkan ego kerana ini membabitkan masa depan pemain dan pegawai skuad kebangsaan.

"Ada kes yang berlaku di peringkat antarabangsa di mana atlet digantung sementara masih dibenarkan bertanding di peringkat domestik.

"Itu dapat dipertimbangkan, namun perlunya perbincangan di antara pihak PSM dan ISTAF," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Saya telah berbincang dengan Presiden PSM semalam," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, pula. "Beliau menjelaskan kepada saya bahawa pihaknya akan mencari jalan agar senario yang berlaku tidak akan menjejaskan sukan sepak takraw dan pemain."