Perkampungan sukan antara cadangan pastikan kesihatan, keselamatan atlet 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 Oktober 2020 109
Perkampungan sukan antara cadangan pastikan kesihatan, keselamatan atlet 
Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan berkompromi dalam menangani peningkatan kes COVID-19 demi keselamatan atlet.

Antara langkah terakhir MSN jika pandemik itu kembali meruncing adalah dengan mengadakan sebuah program terkawal dan terlindung daripada pergaulan bebas.

Ini merujuk kepada inisiatif seperti kem Road to Tokyo (RTT) yang dilaksanakan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Julai lalu.

Buat masa ini, program sukan negara disifatkan sebagai masih terkawal dengan hanya kem boling tenpin negara menjalani kuarantin tersendiri selepas pangkalan latihan mereka di Sunway Pyramid terkesan dengan kes COVID-19.

"Selepas MTBC (Kongres Boling Tenpin Malaysia) memaklumkan kes COVID-19 di tempat latihan, kami menasihati mereka supaya mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  

"Sebenarnya kami ada perancangan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan atlet. 

"Salah satunya mengumpul mereka di Bukit Jalil dengan menjalani program RTT seperti sebelum ini atau yang kedua, mereka berlatih di rumah masing-masing. 

"Kami akan nilai perkara ini secara terperinci dan sentiasa mendapatkan nasihat daripada KKM," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jeffri Ngadirin. 

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menjelaskan pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara menyeluruh terpaksa dilupakan buat seketika. 

Kerajaan kekal dengan pelaksanaan fasa empat ketika ini berikutan situasi semasa pandemik berkenaan di Malaysia yang menjadi kebimbangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).  

"Fasa lima masih belum dapat dilakukan melihat kepada peningkatan kes COVID-19. 

"Bukan sahaja Malaysia, malah negara-negara luar yang pada awalnya membenarkan kemasukan penonton (ke venue pertandingan), contohnya Vietnam akhirnya terpaksa menarik semula keputusan itu kerana peningkatan kes. 

"Kami tidak mahu buat sesuatu kemudian kami tarik balik keputusan itu," katanya di Putrajaya hari ini. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen